Wahai adik-adikku
Zaman aku sebagai mahasiswa telah lama berlalu. Di sana telah mengajar aku erti sebuah kehidupan. Mana tidaknya, aku cukup aktif dalam berpersatuan dan aktiviti keusahawanan. Semuanya itu aku lakukan kerana matlamat aku pada masa itu mengejar sijil untuk diletakkan dalam CV. Fuh! Cukup banyak sijil yang dapat aku kumpulkan. Aku hanya sertai program-program yang aku sukai sahaja, yang boleh membentuk aku untuk memimpin. Bukan sahaja program-program dalam kampus, malah program-program luar kampus pun aku sertai.
Setelah beberapa tahun aku meninggalkan universiti, aku mulai memahami sesuatu untuk dijadikan panduan hidupku. Ini adalah hasil daripada penglibatan aku dalam berpersatuan dan aktiviti keusahawanan. Pertama - sahsiah diri. Dari latihan yang aku peroleh dalam mengendalikan program-program semasa di universiti dulu membentuk suatu keyakinan untuk berhadapan sesiapa sahaja. Malah, aku tidak pernah rasa gentar untuk bertanyakan sesuatu isu walaupun mungkin isu itu sensitif. Pasai , cikgu aku pernah menasihati aku, "Ubat Kebodohan adalah Bertanya."
Keduanya - nilai sebuah persahabatan. Aku punyai kawan yang rapat semasa di kolej. Tapi kini hanya tinggal kenangan. Kami bersama dalam banyak aktiviti. Kalau bukan aku yang menjadi "presiden", kawan aku tulah "presiden", dan aku akan jadi "setiausaha agong"...begitulah aku dan dia. Sehingga ke hari ini aku masih ingat nasihat seorang cikgu..."Makan biar berkawan tapi jangan makan kawan". Sehebat mana pun kita, jika kita tidak boleh mengawal keadaan, pasti kita akan kecundang jua akhirnya.
Ketiga - perancangan dan tindakan. Segalanya bermula dengan adanya perancangan dan disusuli dengan tindakan. Persediaan awal banyak membantu. Seorang penulis yang aku kagumi pernah menasihati aku,"melaksana rancangan yang tidak sempurna adalah lebih baik daripada tidak melaksanakan rancangan yang sempurna". Nasihat ini cukup berguna untuk aku terus melakar sebuah sejarah hidupku. Kerana inilah, ramai daripada kawan-kawan tidak dapat memahami tindakan aku, kerana di sana ada sebuah rencana yang telah disusun.
Keempat - pandangan. Dalam memberi cadangan idea yang bernas, aku selalu memberi buah fikiran yang agak berbeda. Tapi akhirnya matlamat itulah yang dicapai. Kotak fikiran aku telah menjadi objektif dalam bertindak. Banyaknya aku berjumpa dengan orang yang lebih dewasa telah mematangkan aku dalam membuat keputusan. Syukur pada Ilahi atas didikan ini telah menyelamatkan beberapa rumahtangga seseorang yang berpangkat lebih tua dariku. Nasihat aku didengari walaupun aku ni si adik.
No comments:
Post a Comment